Sunday, October 22, 2017

TAHAP PEMBUKTIAN DI DALAM AMALAN PERUBATAN MODEN

TAHAP PEMBUKTIAN ("LEVELS OF EVIDENCE') DI DALAM AMALAN PERUBATAN MODEN.

Rencana ini mungkin agak berat tetapi bagus jika orang awam membaca dan cuba memahaminya. Saya cuba menjelaskan apakah asas yang digunakan oleh pengamal perubatan moden apabila mereka mendakwa bahawa ubat ataupun kaedah rawatan terhadap sesuatu penyakit itu adalah berkesan. Di penghujung rencana ini saya akan terangkan apakah kedudukan testimoni di dalam membuktikan keberkesanan sesuatu produk ataupun ubat kesihatan.

Pengamal perubatan moden yang mematuhi disiplin ilmu perubatan sangat menitikberat kredibiliti sesuatu fakta perubatan. Kami diajar supaya menilai sesuatu fakta dengan terperinci sebelum mempercayainya. Ini adalah prinsip amalan yang paling asas kerana jika tersilap menerima fakta, pesakitlah yang akan menerima akibatnya.

Untuk menentukan ketepatan sesuatu fakta perubatan, kami merujuk kepada apa yang dikatakan sebagai tahap pembuktian ataupun "LEVELS OF EVIDENCE". Tahap pembuktian dikategorikan berdasar kepada kekuatan fakta yang ditentukan oleh kualiti kajian yang telah dijalankan.

Terdapat 8 tahap (level) pembuktian:
Level 1a : Systematic review of randomized controlled trials
Level 1b: Individual randomized controlled trials
Level 2a: Systematic review of cohort studies
Level 2b: Individual cohort study
Level 3a: Systematic review of case-control studies
Level 3b: Individual case-control study
Level 4: Case series
Level 5: Expert opinion

Level 1a adalah tahap pembuktian yang paling tinggi dan paling tepat, manakala level 5 adalah yang paling lemah. Berdasarkan kepada tahap pembuktian inilah kami dapat menentukan kredibiliti sesuatu fakta. Maka jika kami ingin mendakwa bahawa produk ataupun ubat tersebut berkesan mencegah ataupun merawat penyakit tertentu dengan yakin, dakwaan tersebut hendaklah disokong oleh bukti pada tahap/level 1. Berdasarkan tahap-tahap pembuktian ini jugalah, kami akan menghasilkan buku garispanduan rawatan yang dikenali sebagai CPG ("Clinical Practice Guidelines" sebagai rujukan kepada semua pengamal perubatan moden.

Pengamal perubatan yang menggunakan "levels of evidences" sebagai asas untuk menerima ataupun menolak sesuatu fakta perubatan dikatakan mengamalkan "EVIDENCE-BASED MEDICINE" (EBM). Apabila pengamal perubatan ini beramal menggunakan prinsip EBM, maka mereka ini dianggap sebagai pengamal perubatan yang terbaik. Pesakit yang dirawat akan menerima rawatan yang terbaik.

Sebagai orang awam, anda tidak perlu mengetahui dengan terperinci apakah maksud bagi setiap tahap (level) tersebut, cuma faham bahawa kesemua tahap ini ditentukan melalui penilaian ke atas kualiti dan hasil kajian yang disiarkan di dalam jurnal-jurnal perubatan. Pengamal perubatan moden dilatih untuk mahir menilai kualiti sesuatu kajian. Anda serahkan saja kepada kami untuk menentukannya.

Di manakah letaknya TESTIMONI? Di dalam konteks perubatan, testimoni adalah dakwaan yang dibuat oleh seseorang tentang kebaikan ataupun keburukan sesuatu produk ataupun kaedah rawatan. Jadi testimoni hanya berasaskan kepada pengalaman seseorang yang dipengaruhi oleh banyak perkara termasuk ingatan dan keikhlasan mereka. Pengalaman seseorang sangat berbeza dan sukar untuk dipastikan kaitan di antara penyebab dan akibat. Jika testimoni itu dilakukan oleh Pengamal Perubatan  yang pakar di dalam sesuatu bidang dan ianya disiarkan di dalam jurnal, ini dinamakan CASE REPORTS ataupun CASE SERIES (Level 4), bukti seumpama ini juga dikenali sebagai bukti anekdotal ("ANECDOTAL EVIDENCES"). Tetapi jika testimoni dilakukan oleh orang awam yang tidak mempunyai latar belakang perubatan, maka kedudukan testimoni ini adalah jauh lebih rendah iaitu tidak termasuk di dalam mana-mana 8 tahap pembuktian di atas. Jadi jika saya ingin meletakkan kedudukan TESTIMONI oleh orang awam/pesakit, ia adalah di dalam kedudukan yang ke 9 (Level "6"). Begitulah lemahnya kredibiliti testimoni di dalam membuktikan keberkesanan sesuatu produk. Malangnya masyarakat kita mempunyai persepsi yang terbalik, mereka sangat teruja jika melihat banyak testimoni,  mereka tidak sedar bahawa testimoni yang positif sahaja yang akan diwar-warkan, sedangkan kesan2 negatif ataupun tidak berkesan akan disembunyikan. Kita andaikan di dalam 100 kali penggunaan sesuatu produk, 5 kali sahaja yang menunjukkan kesan positif sedangkan 95 kali tidak berkesan. Jika 5 orang ini sahaja yang membuat testimoni dan diviralkan, tentu sekali produk ini seolah2 nampak sangat berkesan. Lebih malang lagi jika dalam kalangan 95 orang yang tidak berkesan itu ramai yang mengalami kesan sampingan, dan ini juga disembunyikan. Bayangkan akibatnya jika ia diterima dan diamalkan oleh orang ramai.

Semoga rencana ini dapat membuka mata masyarakat bagaimana menilai kesahihan dan ketepatan sesuatu fakta perubatan. Jika masyarakat faham, maka mereka tidak mudah terpedaya dengan testimoni-testimoni.

Dato' Dr.Mohd Rushdan Md Noor   
Pakar Perunding Ginekologi Onkologi

Thursday, November 4, 2010

BLOG BUKU-BUKU TULISAN DR.RUSHDAN

Membaca adalah jambatan ilmu dan ilmu itu adalah pelita hidup. Begitulah perumpamaan Melayu yang cukup bermakna dan mempunyai maksud yang sangat mendalam dan bermakna. Ramai di kalangan masyarakat kita yang belum membudayakan tabiat membaca sehingga mereka ketinggalan dari segi pengetahuan dan kematangan berfikir. Bahan bacaan ilmiah terutamanya mengenai kesihatan yang ditulis di dalam Bahasa Melayu adalah sangat terbatas dan adakah ini merupakan satu punca mengapa masyarakat Melayu kita kurang berminat untuk membaca? Membudayakan tabiat membaca perlu dipupuk dari peringkat rebong supaya apabila mereka membesar, membaca ini sudah menjadi satu kesebatian di dalam amalan hidup mereka. Demi untuk menyediakan bahan2 bacaan kesihatan di dalam bahasa Melayu, dengan izin Allah swt, saya telah berhasil menulis 5 buah buku kesihatan yang melibatkan kesihatan reproduktif. Semoga bahan2 bacaan ini dapat dijadikan sumber ilmu dan seterusnya berperanan menjadi lampu yang akan menerangi jalan masa depan hidup bangsa kita. Insyallah dengan semangat dan tenaga yang masih ada, beberapa buah buku lagi akan  berada di pasaran. Semoga bahan2 bacaan ini akan menjadi khazanah peninggalan yang dapat terus memanfaatkan ramai manusia walaupun penulisnya sudah tiada di dunia ini. Sekian dan selamat membaca.

Dr.Rushdan